Sabtu, 30 Mei 2009

Bahasa Melayu Oh bahasa Melayu.....

BAHASA Melayu telah diangkat menjadi bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan negara kita. Bagaimanapun, adakah taraf dan kedudukannya itu benar-benar dihormati apatah lagi setelah 52 tahun negara kita mencapai kemerdekaan?

Perkara ini masih menarik untuk terus diperkatakan. Ini kerana sikap sambil lewa menggunakan bahasa kebangsaan terus menjadi masalah yang seperti tiada penghujungnya.

Secara keseluruhannya, boleh dikatakan nasib bahasa kebangsaan masih malang sama ada dari segi pertuturan mahupun penulisan.

Dalam aspek pertuturan, bahasa kebangsaan kelihatan seperti menjadi milik satu bangsa saja, iaitu Melayu. Pun begitu, agak dikesali juga kerana masih ada sesama Melayu sendiri, khususnya golongan bawahan, menggunakan bahasa kebangsaan yang tidak tersusun.

Pertuturan atau perbualan yang menggunakan bahasa kebangsaan yang boleh dianggap baik biasanya berlangsung di antara golongan pertengahan, terpelajar dan atasan atau elit.

Bagaimanapun, ada juga dalam kalangan mereka yang menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan dan perbualan. Mengapa mereka enggan menggunakan bahasa kebangsaan? Adakah mereka berasa malu, rugi atau taraf menurun? Salahkah pula jika kita menganggap perlakuan sedemikian disebabkan ingin berlagak mahir berbahasa Inggeris?

Bagaimana pula dengan bangsa bukan Melayu? Adakah mereka benar-benar menggunakan bahasa kebangsaan?

Sepanjang yang dilihat, secara keseluruhannya tidak! Biasanya orang Cina bercakap dalam bahasa Mandarin atau Kantonis jika tidak dalam bahasa Inggeris ketika berbual. Demikian juga dengan orang India yang menggunakan bahasa Tamil.

Apabila orang Cina berbual dengan orang India, bahasa yang selalu digunakan ialah Inggeris. Ada juga orang Melayu yang menggunakan bahasa Inggeris apabila berbual dengan orang Cina dan India!

Walaupun disedari ini tidak membabitkan semua orang, kebiasaannya berlaku dalam kalangan masyarakat negara kita. Tentu sekali gejala ini amat dikesali.

Di mahkamah pula pengunaan bahasa Inggeris masih diutamakan. Di bank juga kelulusan yang baik dalam bahasa tersebut masih menjadi syarat untuk kelulusan permohonan melamar sebarang jawatan penting di dalamnya.

Demikian juga dengan pejabat swasta milik bukan Melayu. Surat rasmi kebanyakan jabatan kerajaan pula menggunakan bahasa kebangsaan yang salah dari segi ejaan dan nahu!

Jika kita melihat keadaan bahasa kebangsaan dari segi penulisan, khususnya papan tanda dan poster pula, juga masih tidak memuaskan hati secara umum.

Papan tanda perniagaan yang kebanyakannya kepunyaan swasta seolah-olah tidak menghormati langsung bahasa kebangsaan. Pihak berkenaan tidak menggunakan bahasa kebangsaan yang betul. Mereka juga menganggap penggunaan bahasa tersebut yang betul bukan syarat penting dalam perniagaan.

Diakui ada perniagaan yang tetap maju dan laris meskipun tidak menggunakan bahasa kebangsaan yang betul. Bagaimanapun, bukanlah berlaku setiap masa kerana buruk padahnya jika salah ejaan atau nahu.

Sebagai contoh, ‘pemborong beras’ akan berbeza maknanya jika dieja ‘pembohong beras’ ataupun ‘pemborong berus’. Usahkan maju, perniagaannya pun tidak dapat dijalankan.

Jika dibiarkan berterusan, perkara ini amat membimbangkan. Apatah lagi jika ada peniaga yang langsung tidak mahu menggunakan bahasa kebangsaan.

Berdasarkan penelitian, kesalahan penggunaan bahasa kebangsaan meliputi ejaan dan nahu. Ada kalanya agak ganjil bunyi ayat yang digunakan.

Kita boleh menemui kesalahan tersebut di mana-mana. Dari aspek kesalahan ejaan, antara contoh yang boleh diberikan termasuklah ‘pelancungan’, ‘kelinik’ dan ‘restoren’ (sekadar beberapa contoh). Sepatutnya kata nama tersebut dieja sebagai ‘pelancongan’, ‘klinik’ dan ‘restoran’.

Turut ditemui kesalahan ejaan seperti ‘Pengedar Alat-Ganti Kim’ dan ‘Kedai Letrik Raja’. Ejaan yang betul untuk ‘Alat-Ganti’ ialah ‘Alat Ganti’ dan ‘Letrik’ pula ‘Elektrik’.

Selain itu, ada billboard yang berbunyi ‘Petaling Jaya ke Arah Bistari’ sedangkan ejaan ‘Bistari’ yang sebenarnya ialah ‘Bestari’.

Dalam aspek kesalahan nahu pula, antara contohnya ialah ‘Jelita Ekspres’ dan ‘Dagang Teknik Sdn Bhd’. Sepatutnya ‘Jelita Ekspres’ disebut ‘Ekspres Jelita’ dan ‘Dagang Teknik Sdn Bhd’ sebenarnya ialah ‘Teknik Dagang Sdn Bhd’.

Ada pula rangkai kata yang agak aneh, seperti ‘Kasa Emas Enterprise’ dan ‘Beras Asli Special’. Lebih baik dan sebenarnya ialah ‘Kasa Emas Enterprise’ disebut ‘Syarikat Kasa Emas’ serta ‘Beras Asli Special’ pula ‘Beras Asli Istimewa’.

Selain masih banyak papan tanda yang menampilkan kesalahan ejaan dan nahu bahasa kebangsaan, ada juga saiznya lebih kecil daripada saiz bahasa asal atau Inggeris. Ini sudah melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (dalam konteks ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur).

Bagaimanapun, semua kesalahan tersebut tidak diambil peduli dan dibiarkan berterusan seperti tiada penghujungnya. Tindakan susulan lambat diambil setelah aduan dan rungutan dibuat.

Begitulah bahasa kebangsaan yang terus dihimpit segolongan rakyat yang tidak tahu dan enggan mendaulatkannya (menggunakannya dengan betul).

Dengan demikian, hasrat untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia yang berperibadi sendiri, berjiwa dan memiliki satu bahasa tidak akan tercapai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan